Pages

Wednesday, March 3, 2010

Pulau Pinang bakal jadi seperti Singapura.


MELAYU tidak mampu lagi tinggal di Pulau Pinang berikutan kenaikan harga rumah dan percukaian hartanah. Di mana mereka tinggal sekarang? Kebanyakan dalam rumah kecil dan sesak seperti Tanjung Tokong dan Rifle Range.

Mereka turut menghuni rumah pangsa satu bilik, di atas tanah wakaf, tanah terbiar, 'tanah tumpang' atau tanah Tol kerajaan. Berdasarkan ringkasan laporan disediakan bersama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan tanah Melayu di sebelah pulau merosot berikutan perpindahan mereka ke Daerah Barat Daya selain Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah.

"Kalau kerajaan negeri menyedari masalah Melayu terpinggir di Pulau Pinang maka perlu dan tiba masanya untuk mereka duduk bersama mencari satu pelan tindakan baru untuk menyelesaikan keadaan sekarang ini. Kita lihat tidak ada (tindakan kerajaan)," kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMM), Rizal Faris Mohideen Kadir.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim, berkata "kerajaan negeri hendak 'menghalalkan' peniaga Batu Feringgi yang merangkumi 99 peratus Cina. Kenapa ada sikap sebegini?".

"Kita bukan bermusuh dengan penduduk Cina dan India yang ada tetapi masalahnya ialah Guan Eng. Itu adalah fokus masalah kita," kata anak jati Kampung Melayu Tanjung Tokong itu.

Beliau mengimbas kembali janji pemimpin parti pembangkang dalam kempen pilihan raya umum 2008 lalu, bahawa perkampungan Melayu di Tanjung Tokong akan dijadikan tanah warisan. Tetapi selepas mengambil alih kerajaan negeri, mereka mendakwa tiada kuasa dan kawasan itu adalah tanah Kerajaan Persekutuan.

"Bagi saya, ini satu pembohongan dan penipuan yang sejelas-jelasnya kepada orang Melayu di Tanjung Tokong yang memberi kepercayaan kepada mereka, kononnya mengundi mereka adalah demi mempertahankan tanah berkenaan. Hari ini, orang Melayu di Tanjung Tokong masih lagi berhempas pulas dan berjuang untuk mempertahankan tanah itu," katanya.

Perkampungan yang dihuni 3,000 penduduk itu adalah tanah Tol yang sudah dibatalkan hak milik oleh kerajaan negeri. Dengan mencadangkan statusnya ditukar kepada kampung warisan maka kampung itu akan dikekalkan.

"Kalau berani, kami cabar kerajaan negeri untuk datang dan robohkan perkampungan kita. Lihatlah apa tindakan kita. Jadi kami kini umpama tinggal di perkampungan setinggan sebab tidak tahu tanah itu hak milik siapa. Dia nak halau kami bila-bila masa saja boleh," katanya.

Beliau difahamkan kawasan itu hendak dimajukan dengan pangsapuri mewah yang mencecah RM1 juta seunit dan penduduknya yang 100 peratus Melayu akan dipindahkan ke lokasi lain.

"Bagaimana orang Melayu di kampung itu yang kerja kilang dengan gaji RM1,000 sebulan nak beli rumah itu? Semua ini bertujuan menghalau orang Melayu dari pulau ini dan pulau ini hanya boleh diduduki orang yang berpendapatan tinggi," katanya.

Sebaliknya, kerajaan negeri menjemput penduduk Singapura dan Hong Kong datang mendiami Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka.

Jais turut mendedahkan dasar komuniti perniagaan dan sektor swasta Cina di negeri itu yang mewajibkan syarat menguasai bahasa Mandarin untuk calon yang mahu mencari pekerjaan. "Perkara itu adalah mustahil bagi orang Melayu. Ini benda yang tak masuk akal dan kita sedar bahawa inilah agenda dia sebenarnya dan ke mana arah dia nak bawa Pulau Pinang ini memang cukup jelas bagi kita," katanya.

0 comments: